"Sungguh, lelaki dan perempuan muslim
Lelaki dan perempuan mukmin
Lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya
Lelaki dan perempuan yang benar
Lelaki dan perempuan yang sabar
Lelaki dan perempuan yang khusyu'
Lelaki dan perempuan yang bersedekah
Lelaki dan perempuan yang berpuasa
Lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya
Lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah
Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar"
(Surah Al-Ahzab: 35)
Indah sungguh susunan ayat ini, penuh berseni, penuh berisi, penuh makna yang tersurat dan tersirat untuk diteliti.. Madah yang membelai jiwa, memujuk hati, menjadi penawar duka dan pembalut luka..
Mari kita teliti ayat ini..Kenapa Allah sebutkan khusus, lelaki dan perempuan? Kenapa tidak Dia nukilkan saja secara umum, Sungguh hamba-hambaku yang muslim... hamba-hambaku yang mukmin... Kenapa mesti disebutkan dengan jelas Lelaki dan Perempuan?? Maha suci Allah yang Maha Adil dan Bijaksana.. Inilah antara sifat Allah.. Maha Adil.. Dia ingin jelaskan keadilanNya melalui ayat ini.. Bahawa Dia, Allah tidak pernah membezakan hambaNya, baik lelaki mahupun perempuan.. Bukan jantina yang membezakan hambaNya, tiada yang lebih rendah mahupun yang lebih tinggi antara keduanya.. masing-masing ada peranan, ada tugasnya yang sama nilainya disisi Allah..
Allah Maha Bijaksana.. ayat inilah buktinya.. Bijaksananya Allah menyusun kata-kata.. Bijaksananya Allah memujuk hambaNya.. bagaikan ingin dikatakan, wahai hambaKu.. Kamu tetap sama disisi Aku, samada kamu dari keturunan Adam, mahupun keturunan Hawa, kedua-duanya adalah makhluk ciptaanKu, yang Aku hembuskan roh ke jasadnya, yang aku jadikan dari setitis air mani yang hina hingga di angkat menjadi khalifah di dunia.. Bagaikan Dia ingin memujuk hati-hati hambaNya yang barangkali tersentuh hiba meratapi keterbatasan diri..
Mungkin ada kaum Hawa memendam rasa, cemburu melihat si Adam tangkas di medan jihad, lincah di medan dakwah, tak perlukan teman untuk ke mana-mana, tak perlu fikirkan sekatan demi sekatan, hanya perlu tanya hati, tanya Iman, antara mahu atau tidak.. bertuahnya Adam, kata Hawa.. Sedangkan Hawa amat teringin selincah Adam, mengajak manusia menuju Tuhan, memperjuangkan ad Deen berpaksikan iman dan kebenaran.. Namun, kerana dirinya si Hawa, banyak perkara perlu ditelitinya, bimbang fitrah yang baik bertukar fitnah yang aib.. lantas, Hawa sedikit kecewa..
Lalu di sinilah Dia memujuk.. bagaikan dikataNya, wahai hambaKu si Adam dan Hawa, kalian adalah dua pejuangKu yang sama hebat, di 2 medan jihad yang berbeza aturannya.. Adam, Aku berikan kekuatan luar biasa padamu, lalu Ku tempatkanmu di medan yang ini..Hawa, kau juga Aku kurniakan kehebatan tersendiri, dan gelanggang perangmu di sana.. hakikatnya, dua medan ini tidak berbeza wahai Adam dan Hawa, matlamatnya tetap sama, untuk kalian merebut keredhaanKu, namun aturannya berbeza, percaturannya tidak sama.. namun percayalah, ganjaran buat kalian tetap setaraf di sisiKu.. Bagaikan begitu indah Dia memujuk..
Lalu Adam dan Hawa, usah dipertikai siapa dirimu, jangan diperkecil usaha dan keupayaanmu, kerana Dia yang menciptakanmu adalah Dia yang Maha Tahu.. Berjuanglah di medanmu.. dengan caramu, mengikut aturanNya, mengikut jalan yang ditunjukNya.. Usah kamu bersaing sesama sendiri, kononnya ingin menjadi yang lebih gah, yang lebih hebat.. Adam tidak rela di perkecil Hawa, kononnya.. manakala Hawa pula tidak tegar menjadi yang di bawah selepas Adam, biar berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, katanya..
Silap lah kalian wahai Adam, wahai Hawa.. Kalian sibuk mengukur siapa lebih kehadapan, hingga kalian lupa untuk apa kalian diciptakan.. Sayang sekali, persaingan yang berpaksikan iri hati dan dengki mendengki ini akhirnya telah 'membunuh' kalian.. perajurit yang seharusnya menjadi tentera Tuhan, telah akhirnya menjadi tunggangan syaitan..
Bacalah kalimah ini dengan rasa keinsafan, hayati bait-bait ini dengan penuh kesedaran, Dia tidak pernah membanding bezakan antara kalian... Sebaliknya kalian ada tempat yang sama di sisiNya sekiranya kalian benar-benar mengerti dan faham..Oleh itu wahai Adam dan Hawa..
Jadilah lelaki dan perempuan yang muslim
Jadilah lelaki dan perempuan yang mukmin
Jadilah lelaki dan perempuan taat
Jadilah lelaki dan perempuan yang benar
Jadilah lelaki dan perempuan yang sabar
Jadilah lelaki dan perempuan yang khusyu'
Jadilah lelaki dan perempuan yang bersedekah
Jadilah lelaki dan perempuan yang berpuasa
Jadilah lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatan
Jadilah lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah
Maka Allah menjanjikanmu ampunan dan pahala yang besar..
Wahai Adam, wahai Hawa.. jangan bersedih dan berduka lagi.. Allah mendatangkan kalimah ini untuk memujukmu.. bahawa selagimana engkau berjalan menuju Allah, Allah pasti akan berlari mendapatkanmu.. Tidak sesekali Dia sia-siakan amal kebaikanmu walau sebesar zarrah, kerana padaNya bukan rupa paras, fizikal mahupun harta yang menjadi bandingan, sebaliknya hatimu yang ikhlas, tulus mencintaiNya sepenuh jiwa, amalanmu yang istiqamah mengharapkan keredhaanNya.. itulah nilaianNya Dia terhadapmu..Berjuanglah kalian dengan keupayaan yang diberikan.. bersungguh lah kalian dengan amanah yang dipertanggungjawabkan.. usah risau, kerana ganjaran untukmu tetapkan sepadan tanpa sedikit pun ada kecacatan mahupun ketidakimbangan.. kerana Dia adalah Tuhan, yang Maha Adil dalam pemberian..